Hidup suci dalam Islam dapat diraih oleh sesiapa sahaja. Kesucian hidup, bukanlah hak istimewa seseorang. Jalan tersebut terbuka bagi sesiapa sahaja, tidak hanya milik para ulama. Bahkan orang jahat sekalipun, ia dapat memperoleh cara hidup suci, asalkan ia bersedia untuk bertaubat dengan bersungguh-sungguh.
Bagi Allah, kesolehan seseorang bukan karena sama sekali tidak berbuat dosa, akan tetapi orang yang soleh adalah orang yang setiap kali berbuat dosa dia menyesal dan selanjutnya tidak mengulangi perbuatan tersebut.
Pepatah Arab menyatakan: “Manusia adalah tempat salah dan lupa.” Pepatah ini bukan bererti manusia dibiarkan untuk selalu berbuat salah dan dosa, akan tetapi kesalahan pada diri manusia harus ditebus dengan taubat, penyesalan dan menghentikan perbuatan buruk yang dilakukannya itu.
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Setiap anak Adam selalu melakukan kesalahan. Dan sebaik-baik orang yang berbuat salah adalah orang-orang yang bertaubat.” (Riwayat Tirmidzi)
Taubat yang sungguh-sungguh di sisi Allah adalah pembersihan diri yang sangat dicintai. Dalam Islam, pertaubatan bukan melalui orang lain, tetapi daripada diri sendiri secara langsung kepada Allah. Apatah lagi, Islam tidak mengenal penebusan dosa dengan sejumlah wang. Islam amat berbeza dengan cara-cara pertaubatan dibandingkan agama-agama lain. Islam melihat bahawa pertaubatan adalah persoalan yang sangat bersifat peribadi antara seorang hamba dengan Tuhannya.
Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud : “Sesungguhnya Allah lebih suka menerima taubat hamba-Nya melebihi daripada kesenangan seseorang yang menemukan kembali untanya yang hilang di tengah hutan.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Islam tidak menganggap taubat sebagai langkah terlambat bila-bila pun kesedaran itu muncul. Hisab (perhitungan) akan perilaku buruk kita di sisi Allah akan terhapus dengan taubat kita. Lembaran baru hidup terbuka lebar. Langkah terbentang lusa.
Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud : “Sesiapa yang bertaubat sebelum matahari terbit dari barat, maka Allah akan menerima taubat dan mengampunkannya.” (Riwayat Muslim)
Bertaubat, demikian halnya, dijadikan amalan zikir oleh Rasulullah s.a.w pada setiap hari. Baginda beristighfar meskipun sebenarnya baginda tidak melakukan dosa.
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Hai sekalian manusia, bertaubatlah kamu kepada Allah dan mintalah ampun kepada-Nya, maka sesungguhnya aku bertaubat dan beristighfar seratus kali setiap hari.” (H.R. Muslim)
Firman Allah s.w.t yang bermaksud: “Katakanlah! Hai hamba-hamba-Ku yang berdosa terhadap diri sendiri, janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni segala dosa. Sesungguhnya Dia Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (al-Zumar: 53)
Firman Allah lagi yang bermaksud: “Hai orang-orang yang beriman, bertaubatlah kepada Allah dengan seikhlas-ikhlas taubat, semoga Tuhanmu akan menghapuskan daripada kamu akibat kejahatan perbuatan-perbuatanmu, dan akan memasukkan kamu ke dalam syurga yang di bawahnya mengalir sungai-sungai.” (al-Thalaq: 8)
Dalam memperbaiki kesalahan dan membersihkan diri daripada dosa, ada dua hal yang perlu diperhatikan, iaitu hak Allah dan hak anak cucu Adam (manusia). Apabila kesalahan atau dosa berhubungan dengan hak Allah, maka ada tiga syarat yang perludipenuhi, iaitu :
1. Perlu menghentikan perilaku maksiat.
2. Perlu dengan bersungguh-sungguh menyesali perilaku dosa yang telah dilakukan.
3. Berniat dengan tulus ikhlas untuk tidak mengulangi perbuatan tersebut.
Dan, apabila kesalahan itu berhubungan dengan manusia, maka bertambah lagi satu syarat, iaitu perlu menyelesaikan urusan dengan orang yang berhak dengan meminta maaf atau halalnya, atau mengembalikan apa yang harus dikembalikan.
Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: “Orang yang bertaubat daripada dosa adalah seperti orang yang tidak berdosa. Dan orang yang memohon ampun daripada dosanya, sedangkan dirinya tetap mengerjakan dosa, seperti orang yang mempermainkan Tuhannya.” (Riwayat Baihaqi)
rujukan :http://ummatanwasatan.net
0 comments:
Post a Comment